Thursday, December 3, 2015

Moh menyelam!

Menyelam di perairan Mabul dan Sipadan

Hasrat untuk menyelam ke dasar lautan sudah terbuku terlalu lama di dalam hati, namun baru pertengahan Januari lalu ianya menjadi kenyataan. Pulau Mabul dan Pulau Sipadan menjadi saksi kami menjelajah dunia asing yang begitu indah di dasar perairan Sabah.

Hari Pertama (14 Januari 2010)

Kami akhirnya berada di dalam perut Air Asia setelah hampir lapan bulan membuat tempahan, semuanya hanya kerana nilai RM 60 seorang untuk pergi-balik dari KL ke Tawau. Kapal terbang berlepas dari LCCT sekitar jam 8 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Tawau selepas hampir 3 jam terbang menembusi awan.

Dari Lapangan Terbang Tawau, sudah ada van dari Billabong Scuba menanti untuk membawa kami ke jeti Semporna. Sebanyak RM 50 seorang dikenakan untuk pergi dan balik dari Semporna ke Tawau nanti. Tak banyak pemandangan menarik kerana sepanjang perjalanan ke Semporna hanya ada ladang kelapa sawit di kiri dan kanan kami. Jalan raya di sini pula agak sempit. Selepas hampir satu jam, kami tiba di Jeti Semporna.

Kami kemudian terus menaiki bot ke Pulau Mabul. Perjalanan merempuh ombak ke Pulau Mabul mengambil masa 30 hingga 45 minit tanpa diberi ‘life jacket’. Kecut perut juga masa tu, tapi mengenangkan kami semua boleh berenang, lega sikit hati rasanya. Di Pulau Mabul, sudah ada pihak Billabong Scuba menunggu kami dan kami kemudian terus dibawa ke Billabong Scuba Mabul Homestay.
Harga semalaman menginap di Billabong Scuba Mabul Homestay adalah sekitar RM70 – RM 80. Selepas mendaftar masuk dan meletak barang-barang, kami terus diperkenalkan dengan Instruktur menyelam, Joe dari Australia dan pembantunya, Nurul, orang Malaysia.

Sekitar jam 2 petang, pelajaran pertama iaitu ‘open water’ pun bermula. Kelas dimulakan dengan pengenalan kepada alat-alat menyelam sebelum beralih kepada ‘water confidence’. Kami dikehendaki untuk mengapungkan diri selama 10 minit di dalam laut yang mempunyai kedalaman 3 meter di sekitar tempat penginapan kami.

Peringatan, anda harus tahu berenang dan mempunyai kemahiran untuk mengapungkan diri jika ingin mengambil lesen menyelam kerana anda perlu mengapungkan diri dan menyarungkan peralatan menyelam ketika berada di permukaan air. Bukan 2 atau 3 meter, tapi ujian tersebut dilakukan pada kedalaman 10 hingga 20 meter.

Semasa berada di sana, cuaca ketika itu mendung. Sebahagian penginap di situ berseloroh bahawa kami membawa cuaca mendung tersebut dari KL sebab memang kebetulan ketika itu, KL sudah beberapa hari dilanda hujan. Jadi aktiviti selam skuba di sana menjadi lebih mencabar dengan ombak yang kejap-kejap beraksi ganas.



Hari Kedua (15 Januari 2010)

Hari kedua masih diteruskan dengan kelas ‘Open Water’ yang bermula seawal jam 9 pagi. Kemudian pada jam 2 petang, aktiviti menyelam pun bermula. Kami telah dibawa ke 3 tempat yang mempunyai kedalaman 22 meter.

Semasa di dalam laut, kami berpeluang melihat penyu, ikan yu, ikan goby, kuda laut, dan macam-macam lagi. Ketika ini lah segala penantian kami untuk meneroka dasar laut berakhir. Keindahannya memang tidak terkata dan kami rasa sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk menikmati keindahan alam semulajadi di dasar laut. Jam 5 petang kami balik ke tempat penginapan untuk berehat. Kelas bersambung semula untuk sesi tayangan video tentang teknik menyelam pada jam 9 malam sebelum masuk tidur pada 11 malam.


Hari ketiga (16 Januari 2010)

Hari ini kami dibawa untuk menyelam di dasar laut Pulau Sipadan. Kami bertolak pada jam 9 pagi dari tempat penginapan dan tiba di jeti Pulau Sipadan sekitar jam 9.45 pagi. Pulau Sipadan telah diisytiharkan sebagai kawasan lindungan, jadi untuk masuk ke pulau ini permit bernilai RM 40 diperlukan. Hanya 200 orang sahaja dibenarkan masuk ke pulau tersebut setiap hari. Di sini, kami terjumpa sekumpulan wanita Jepun berumur dalam lingkungan 60 hingga 70 tahun. Mereka turut melakukan aktiviti menyelam di Pulau Sipadan, siap dengan ‘wet suit’ warna pink lagi! 



Kami menyelam sebanyak 3 kali di Pulau Sipadan yang juga terkenal sebagai pulau terumbu karang dan momen paling menakjubkan apabila kami berpeluang berada di tengah-tengah kawanan besar ikan alu-alu (barracuda) yang sedang berenang. Jam 4 petang, kami kembali semula ke Pulau Mabul. Kami diberi peluang untuk membuat aktiviti bebas seperti berenang atau snorkeling. Tapi kami memilih untuk mengunjungi perkampungan Bajau Laut, salah satu etnik pribumi negeri sabah. Kebanyakan kanak-kanak di sini tidak berpakaian, kami tak pasti sama ada mereka memang tidak mempunyai pakaian atau memang tidak suka berpakaian. Selain menetap di darat, ada juga kaum Bajau Laut yang memilih untuk berumah di atas bot sahaja. Sepanjang perjalanan, kami mendapati terdapat sebuah sekolah rendah yang agak daif, kawasan perkuburan yang kecil dan beberapa kedai runcit yang kecil. Selain itu terdapat banyak ‘guesthouse’ di Pulau Mabul dan ada juga beberapa ‘resort’ di sana. Rata-rata ‘guesthouse’ di sini bernilai dalam lingkungan RM 70 untuk satu malam termasuk makan dan pakej-pakej lain.


Tepat jam 9 malam, kami dikehendaki menjalani ujian bertulis bagi mendapatkan lesen menyelam. Selepas dinilai, kami akhirnya diumumkan lulus. Perasaan gembira terpapar di wajah masing-masing, kami akhirnya telah mempunyai lesen yang membolehkan kami untuk menyelam di mana sahaja.



Hari keempat (17 Januari 2010)

Kami bangun awal pagi hari ni. Kami tak mahu melepaskan peluang menghabiskan baki-baki masa terakhir untuk menikmati keindahan di pulau ini. Kami juga mengambil peluang untuk bertukar-tukar emel dengan penyelam-penyelam luar yang menginap di Billabong Scuba Mabul Homestay.

Tepat jam 1 petang, sebuah bot tiba untuk membawa kami ke Jeti Semporna. Pulau Mabul semakin hilang dari pandangan, namun kami pasti akan kembali lagi suatu hari nanti.

Tiba di Jeti Semporna, kami terus menaiki van ke Lapangan Terbang Tawau. Kami kesuntukan masa untuk berjalan-jalan di pekan Semporna kerana penerbangan kami ke KL hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi.

Tepat jam 4.30 petang, kapal terbang kami meninggalkan Lapangan Terbang Tawau, seterusnya meninggalkan Sabah untuk pulang ke KL.


*Kalau berminat untuk mengambil kelas renang atau belajar menyelam, boleh tengok website ini http://www.bibswimming.com/.  Kami sedia membantu!